Grand Prix Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada kalendar MotoGP sehingga sekurang-kurangnya musim 2031 selepas kontrak Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan untuk lima tahun lagi.
Perjanjian baharu yang diumumkan pada Selasa itu meliputi musim 2027 hingga 2031, sekali gus memastikan Sepang terus kekal sebagai antara venue paling lama menganjurkan perlumbaan MotoGP di rantau Asia.
Sejak kali pertama menjadi tuan rumah pada 1999, Sepang hanya terlepas dua edisi iaitu pada 2020 dan 2021 apabila perlumbaan dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Malaysia turut memainkan peranan penting dalam MotoGP musim ini apabila dipilih sebagai lokasi pelancaran rasmi musim 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara destinasi utama kejuaraan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta, berkata Malaysia terus menjadi antara pasaran paling penting buat kejuaraan itu.
“Malaysia ialah pasaran yang amat penting buat MotoGP. Kami mempunyai kelompok penyokong yang besar di sini dan impak ekonomi yang dibawa MotoGP juga terus meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.
“Gabungan perlumbaan yang menarik, sokongan luar biasa peminat tempatan serta tarikan di peringkat antarabangsa menjadikan Grand Prix Malaysia acara yang sentiasa dinanti-nantikan. Kami gembira dapat terus kembali ke Sepang sehingga 2031.”
Perjanjian berkenaan turut memastikan Sepang akan terus menjadi sebahagian daripada era baharu MotoGP apabila jentera generasi baharu 850cc diperkenalkan mulai musim 2027.
Cristiano Ronaldo masih menjadi sebahagian daripada perancangan Portugal selepas bintang Al Nassr itu disenaraikan untuk aksi UEFA Nations League akan datang di sebalik spekulasi mengenai persaraannya.
Pemain berusia 41 tahun itu tersenarai dalam skuad pertama kendalian ketua jurulatih baharu, Jorge Jesus, yang memilih 25 pemain untuk menghadapi Wales, Norway dan Denmark.
Masa depan Ronaldo menjadi tanda tanya sejak bulan lalu selepas dia memberi bayangan musim ini mungkin menjadi tahun terakhirnya sebagai pemain bola sepak profesional.
Laporan sebelum ini turut mendakwa pertemuan dengan Wales di Estadio Jose Alvalade pada 24 September mungkin menjadi penampilan terakhir Ronaldo bersama Portugal.
Namun, pemenang lima Ballon d'Or itu masih belum menetapkan tarikh untuk mengakhiri karier antarabangsanya dan kekal dalam perancangan Jesus.
Jesus mengambil alih pasukan selepas Roberto Martinez meninggalkan jawatan susulan kekalahan Portugal kepada Sepanyol pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Pelantikan itu menyatukan semula Ronaldo dengan bekas jurulatihnya di Al Nassr selepas mereka membantu kelab Arab Saudi berkenaan meraih gelaran Liga Pro Saudi pertama sejak 2019 pada musim lalu.
Di peringkat kelab, Ronaldo masih mengetuai cabaran Al Nassr mempertahankan kejuaraan dalam musim yang mungkin menjadi kempen terakhirnya sebagai pemain profesional.
Namun, juara bertahan itu belum menemui rentak konsisten pada awal musim ini. Ronaldo menjaringkan tiga gol dalam tujuh penampilan liga, manakala aksi terbaru Al Nassr berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Al Khaleej.
Saksikan perlawanan terpilih Liga Pro Saudi 2026/27 secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Grand Prix Jepun 2026 bakal menerima sentuhan anime apabila francais popular negara itu, "Umamusume Pretty Derby", diumumkan sebagai rakan acara rasmi perlumbaan di Motegi.
Kerjasama itu akan membawa dunia "Umamusume Pretty Derby" ke Mobility Resort Motegi sepanjang hujung minggu perlumbaan dari 2 hingga 4 Oktober, menggabungkan salah satu francais hiburan terbesar Jepun dengan aksi MotoGP.
Dibangunkan studio Jepun, Cygames, "Umamusume Pretty Derby" menampilkan watak yang diinspirasikan daripada kuda lumba sebenar dan bersaing dalam perlumbaan sambil mengejar kerjaya sebagai idola.
Francais itu mula diperkenalkan sebagai permainan video di Jepun pada 2021 sebelum berkembang menerusi siri anime, manga dan pelbagai medium lain.
Popularitinya di peringkat antarabangsa semakin meningkat selepas versi bahasa Inggeris permainan tersebut dilancarkan pada 2025.
Selain pelbagai aktiviti dan pameran khas di sekitar Motegi sepanjang Grand Prix Jepun, Tomoyo Takayanagi yang mengisi suara watak Oguri Cap akan diberi penghormatan mengibarkan bendera penamat bagi perlumbaan Moto2 dan Moto3 pada Ahad.
Grand Prix Jepun turut menjadi hujung minggu penting ketika perebutan kejuaraan MotoGP 2026 memasuki fasa akhir, dengan juara bertahan Marc Marquez serta Jorge Martin dan Marco Bezzecchi bersaing rapat di kelompok teratas.
Namun sebelum ke Jepun, tumpuan MotoGP terlebih dahulu terarah kepada Grand Prix Austria di Red Bull Ring dari 18 hingga 20 September.
Saksikan perlumbaan MotoGP 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Senna Agius melengkapkan barisan 22 pelumba MotoGP bagi musim 2027 selepas mendapatkan tempat terakhir yang masih tersedia bersama Red Bull KTM Tech3.
Agius akan dinaikkan daripada Moto2 untuk bergandingan dengan Luca Marini di Tech3, sekali gus menjadikan pelumba berusia 21 tahun itu antara muka baharu yang bakal mewarnai kelas perdana musim depan.
Pengesahan Agius bermakna kesemua 22 pelumba bagi musim 2027 kini sudah diketahui, dengan hanya susunan akhir barisan Honda masih belum ditentukan.
Fabio Quartararo akan mengetuai pasukan HRC, manakala Johann Zarco kekal bersama LCR. Honda bagaimanapun masih perlu menentukan pasukan buat David Alonso dan Diogo Moreira.
Selain Honda, sebahagian besar grid bakal tampil dengan kombinasi baharu apabila MotoGP memasuki era enjin 850cc dan tayar Pirelli pada 2027.
Ducati akan menggandingkan juara dunia Marc Marquez dengan Pedro Acosta, manakala Francesco Bagnaia meninggalkan pengeluar Itali itu untuk menyertai Marco Bezzecchi di Aprilia.
KTM dan Yamaha pula akan menurunkan barisan pelumba yang berubah sepenuhnya. Alex Marquez bergandingan dengan Fabio Di Giannantonio di KTM, sementara Jorge Martin menyertai Ai Ogura di Yamaha.
Perubahan besar turut berlaku dalam kalangan pasukan satelit.
Fermin Aldeguer berpindah dari Gresini ke VR46 dan akan bergandingan dengan bintang WorldSBK, Nicolo Bulega.
Gresini pula mempertaruhkan juara dunia 2020, Joan Mir bersama graduan Moto2, Daniel Holgado, manakala Enea Bastianini menyertai Raul Fernandez di Trackhouse Aprilia.
Prima Pramac Yamaha turut melakukan rombakan dengan menggandingkan Toprak Razgatlioglu dan Izan Guevara, yang akan membuat lonjakan daripada Moto2.
Rombakan besar itu turut menyaksikan beberapa nama yang sudah lama berada dalam MotoGP tidak lagi berada dalam grid musim depan, antaranya Jack Miller, Brad Binder, Franco Morbidelli dan Maverick Vinales.
Alex Rins pula sudah mengumumkan akan menamatkan karier perlumbaan motosikalnya selepas musim ini.
MotoGP kembali ke Red Bull Ring hujung minggu ini untuk Grand Prix Austria ketika perebutan kejuaraan dunia semakin sengit susulan perubahan besar dalam kedudukan pelumba sejak beberapa pusingan lalu.
Berikut lima fakta menarik menjelang Grand Prix Austria 2026 dari 18 hingga 20 September, yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Selepas Grand Prix Itali, Marc Marquez ketinggalan 102 mata di belakang pendahulu kejuaraan ketika itu, Marco Bezzecchi. Namun, hanya tujuh pusingan kemudian, kemenangan di Grand Prix San Marino membolehkan Marquez menyamai Jorge Martin di puncak dengan 274 mata.
Kebangkitan itu menyaksikan Marquez memadam defisit terbesar untuk mengambil alih kedudukan pendahulu sejak era MotoGP bermula, mengatasi jurang 91 mata yang pernah dikejar Francesco Bagnaia pada 2022.
Bagnaia bagaimanapun masih memegang rekod kebangkitan terbesar untuk akhirnya muncul juara dunia MotoGP selepas mengejar Fabio Quartararo dan merangkul gelaran pada musim tersebut.
Tinggal tiga pelumba selepas sedekad
Ketika Austria kembali dalam kalendar MotoGP pada 2016, Marquez, Maverick Vinales dan Jack Miller adalah antara pelumba yang berada dalam kelas premier. Sedekad kemudian, hanya mereka bertiga daripada barisan pelumba musim tersebut yang masih berada dalam grid MotoGP.
Miller bagaimanapun tidak sempat memulakan perlumbaan pada 2016 selepas terjatuh ketika sesi warm-up, manakala penyertaan Vinales hujung minggu ini masih belum pasti kerana sedang pulih daripada kecederaan bahu.
Jika Vinales sekali lagi terpaksa menarik diri, Marquez akan menjadi satu-satunya pelumba tetap yang beraksi dalam kedua-dua Grand Prix Austria 2016 dan 2026.
Menariknya, Pol Espargaro yang menggantikan Vinales dalam beberapa pusingan kebelakangan ini turut berada dalam grid ketika MotoGP kembali ke Austria 10 tahun lalu.
Red Bull Ring lubuk kemenangan Ducati
Sejak MotoGP kembali ke Austria pada 2016, Red Bull Ring menjadi antara litar paling berjaya buat Ducati. Pengeluar Itali itu memenangi 10 daripada 12 perlumbaan kelas premier yang berlangsung di situ sepanjang sedekad lalu, termasuk Grand Prix Styria pada 2020 dan 2021.
Andrea Iannone, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo, Martin dan Bagnaia masing-masing pernah menyumbang kemenangan kepada Ducati di Spielberg. Marquez pula menyertai senarai itu tahun lalu apabila akhirnya meraih kemenangan pertamanya di Austria.
Acosta mampu cipta kejutan di laman KTM
Hanya KTM berjaya menghalang Ducati daripada menguasai sepenuhnya Red Bull Ring sejak 2016. Miguel Oliveira menghadiahkan kemenangan kepada pengeluar Austria itu dalam Grand Prix Styria 2020, sebelum Brad Binder mencipta antara kemenangan paling diingati di litar tersebut apabila menjuarai Grand Prix Austria 2021.
Kini giliran Acosta berpeluang menjadi pelumba ketiga KTM menang di laman sendiri, sekali gus memburu kemenangan Grand Prix MotoGP pertama dalam kariernya.
Pelumba Sepanyol itu tiba di Spielberg selepas menaiki podium dalam dua perlumbaan berturut-turut di Aragon dan San Marino, selepas menerima peningkatan enjin yang membantu KTM kembali mencabar di kelompok depan.
Juara sulung FIM Harley-Davidson Bagger World Cup akan ditentukan di Red Bull Ring hujung minggu ini dengan empat pelumba masih berpeluang merebut gelaran.
Archie McDonald mendahului kejuaraan dengan 174 mata, hanya tujuh mata di depan Eric Granado yang mengumpul 167 mata. Oscar Gutierrez berada di tempat ketiga dengan 148 mata, manakala Andrea Iannone masih berpeluang dengan 147 mata. Jika Iannone mampu mengejar tiga pencabar di depannya, Red Bull Ring sekali lagi bakal menjadi gelanggang istimewa buat pelumba Itali itu.
Sepuluh tahun lalu, Iannone meraih kemenangan pertama dan satu-satunya dalam MotoGP di litar sama, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan Ducati selama enam tahun dalam kelas premier. Kini, Spielberg mungkin sekali lagi menjadi lokasi Iannone mencipta sejarah, kali ini sebagai juara sulung Bagger World Cup.