Bradley Smith sertai Harley-Davidson Baggers World Cup

(Harley-Davidson Baggers World Cup)

Bekas pelumba MotoGP, Bradley Smith, bakal beraksi dalam perlumbaan Harley-Davidson Baggers World Cup apabila mengesahkan penyertaannya sebagai pelumba wildcard pada Grand Prix Britain bulan depan.

Pelumba Britain itu akan mewakili ParkinGO di Silverstone bersama pelumba tetap pasukan tersebut, Filippo Rovelli.

“Apabila ParkinGO dan Harley-Davidson menghubungi saya mengenai perlumbaan di Silverstone, saya tidak perlu berfikir panjang,” katanya.

“Ini akan menjadi Grand Prix Britain saya yang ke-14 dan berlumba di hadapan penyokong sendiri sentiasa memberikan perasaan yang istimewa.

“Saya memulakan cabaran baharu bersama Harley-Davidson Factory Racing dalam saingan MotoAmerica Mission King of the Baggers dan benar-benar menikmatinya.

“Peluang sebagai wildcard ini membolehkan saya kembali menunggang jentera Harley-Davidson di pentas antarabangsa.”

Smith membuat 119 penampilan dalam MotoGP antara 2013 hingga 2020 bersama Tech3, KTM dan Aprilia.

Beliau turut pernah beraksi dalam MotoE, Moto2 dan kelas 125cc, dengan pencapaian terbaiknya hadir apabila muncul naib juara dunia kategori 125cc pada 2009.

Dengan penyertaan itu, Smith menjadi bekas pelumba MotoGP kedua yang akan beraksi dalam Harley-Davidson Baggers World Cup selepas Andrea Iannone menyertai kejuaraan tersebut secara sepenuh masa bersama Niti Racing BWC pada musim ini.