Thailand dominasi pemain import STL Premier 2026

Pemain Thailand menjadi pilihan utama kelab-kelab Sepak Takraw League (STL) Premier musim ini apabila 18 daripada 20 pemain import yang didaftarkan menjelang Grand Prix Perak berasal dari negara jiran itu.

Hanya dua pemain bukan dari Thailand bakal beraksi dalam saingan STL Premier 2026, iaitu Daishi Tamaki dari Jepun bersama Negeri Sembilan Antlers dan pemain Filipina, Jom Lerry Rafael yang mewakili Selangor Pistons.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sepak Takraw League (@stl.my)

Daripada 12 pasukan yang bertanding, hanya ATM Guardians memilih untuk beraksi tanpa pemain import.

Sembilan pasukan masing-masing membawa masuk dua pemain luar negara, sementara Melaka Titans dan Kedah Eagles sekadar menyenaraikan seorang pemain import.

STL Premier 2026 akan bermula di Stadium Indera Mulia, Ipoh menerusi Grand Prix Perak dari 21 hingga 25 Oktober ini.

Sebanyak tujuh Grand Prix bakal berlangsung sehingga Januari 2027, dengan Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor turut menjadi tuan rumah sebelum saingan berakhir di Selangor.

Format pertandingan musim ini menyaksikan 12 pasukan dipecahkan kepada empat kumpulan, dengan tiga pasukan dalam setiap kumpulan.

Dua pasukan teratas akan layak ke suku akhir, manakala kedudukan yang diraih dalam setiap Grand Prix menentukan jumlah mata bagi perebutan kejuaraan keseluruhan STL Premier.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sepak Takraw League (@stl.my)

Saingan musim ini turut menyaksikan kepulangan Kedah Eagles ke STL Premier selepas 10 tahun, bersama Bomba Fighters yang turut berjaya naik dari Divisyen 1.

Kedua-dua pasukan bertemu dalam final Divisyen 1 awal bulan ini, dengan Kedah menang 2-1 untuk muncul juara.

Peminat di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Macau boleh mengikuti siaran langsung STL menerusi SPOTV NOW.

Pemain Negara Posisi Pasukan
Apinann Promjaree Thailand Tekong Bomba Fighters
Chawakon Chantinmathon Thailand Apit Kanan Bomba Fighters
Nattapong Kotchapaksri Thailand Tekong Johor Tigris
Nontanant Chomchuen Thailand Apit Kanan Johor Tigris
Hapeesorn Hnahno Thailand Apit Kanan Kedah Eagles
Madlee Anda Thailand Apit Kanan Kelantan Warriors
Thanarat Kheachawat Thailand Tekong Kelantan Warriors
Chutchanan Suwannarat Thailand Tekong Kuala Lumpur Thunder
Supasin Boonrueng Thailand Pengumpan Kuala Lumpur Thunder
Aekkasit Naphom Thailand Apit Kanan Melaka Titans
Daishi Tamaki Jepun Tekong Negeri Sembilan Antlers
Siwatbancha Seekhwa Thailand Tekong Negeri Sembilan Antlers
Loesak Kuram Thailand Apit Kanan PDRM Defenders
Worapat Kaewtawatwiset Thailand Tekong PDRM Defenders
Ameen Beunae Thailand Tekong Penang Black Panthers
Teerapat Deecharoen Thailand Apit Kanan Penang Black Panthers
Chanchai Sarika Thailand Tekong Perak Bison
Khatthadet Srichan Thailand Tekong Perak Bison
Jom Lerry Rafael Filipina Tekong Selangor Pistons
Nonthanan Sombatlay Thailand Apit Kanan Selangor Pistons