5 perkara menarik menjelang Grand Prix Australia 2026

(Luca Gambuti/MotoGP)

MotoGP kembali ke Phillip Island dari 23 hingga 25 Oktober ini untuk Grand Prix Australia, dengan beberapa kisah menarik bakal mewarnai perlumbaan terakhir di litar bersejarah itu.

Peminat boleh menyaksikan semua sesi latihan, kelayakan, Sprint dan perlumbaan utama secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Berikut lima fakta menarik menjelang Grand Prix Australia 2026.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Phillip Island ucap selamat tinggal kepada MotoGP

Grand Prix Australia tahun ini bakal menjadi perlumbaan MotoGP terakhir di Phillip Island sebelum kejohanan itu berpindah ke Adelaide mulai 2027.

Phillip Island mula menjadi tuan rumah Grand Prix Australia pada 1989, dengan pelumba tempatan Wayne Gardner memenangi perlumbaan kelas utama pada tahun tersebut sebelum mengulangi kejayaannya pada 1990.

Sejak itu, hampir semua edisi Grand Prix Australia berlangsung di Phillip Island kecuali enam tahun dari 1991 hingga 1996, apabila perlumbaan diadakan di Eastern Creek. MotoGP kembali ke Phillip Island pada 1997 dan terus menjadikan litar di negeri Victoria itu sebagai lokasi Grand Prix Australia sehingga musim ini.

Mulai tahun depan, Adelaide akan mengambil alih penganjuran menerusi perjanjian enam tahun, sekali gus menyaksikan MotoGP buat pertama kali berlumba di litar jalan raya dalam bandar.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Peluang menunggang bersama bintang MotoGP

Acara Homecoming Ride akan berlangsung buat kali terakhir pada Khamis, memberi peluang kepada peminat untuk menunggang motosikal bersama pelumba MotoGP menjelang Grand Prix Australia.

Sejak diperkenalkan pada 2022, acara itu berjaya menghimpunkan ratusan peminat bersama pelumba semasa dan bekas juara dunia. Pada 2023, Marc Marquez mengetuai lebih 400 peminat, manakala Casey Stoner menjadi tarikan utama tahun lalu bersama beberapa pelumba termasuk Jack Miller, Francesco Bagnaia dan Marco Bezzecchi.

Bagi edisi terakhir ini, peserta akan memulakan perjalanan dari San Remo, melalui Cowes sebelum menamatkan acara dengan satu pusingan di litar Phillip Island.

Perlumbaan terakhir Miller di laman sendiri

Jack Miller bakal membuat penampilan terakhirnya dalam Grand Prix Australia sebagai pelumba tetap MotoGP sebelum menyertai Pata Maxus Yamaha dalam WorldSBK pada 2027.

Perpindahan itu akan menamatkan karier Miller selama 12 musim dalam kelas utama, selepas dia membuat lonjakan terus daripada Moto3 ke MotoGP pada 2015. Miller mendapat peluang tersebut selepas muncul naib juara dunia Moto3 pada musim sebelumnya.

Bagaimanapun, peminat Australia masih mempunyai wakil tempatan untuk disokong apabila Grand Prix berpindah ke Adelaide tahun depan. Senna Agius bakal naik daripada Moto2 ke MotoGP bersama Red Bull KTM Tech3, sekali gus menjadi satu-satunya pelumba Australia dalam kelas utama pada 2027.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Phillip Island buka peluang kepada juara baharu

Selekoh berkelajuan tinggi dan cuaca yang sukar dijangka menjadikan Phillip Island antara litar paling mencabar dalam kalendar MotoGP. Namun, dua daripada tiga perlumbaan MotoGP terakhir di sini menyaksikan pelumba meraih kemenangan sulung dalam kelas utama.

Johann Zarco menamatkan penantian panjangnya pada 2023 apabila memintas rakan sepasukan Pramac Ducati, Jorge Martin, pada pusingan terakhir untuk meraih kemenangan pertama dalam MotoGP.

Raul Fernandez pula mencipta kejayaan sulung pada 2025 selepas menewaskan Fabio Di Giannantonio dan Marco Bezzecchi, sekali gus menghadiahkan kemenangan MotoGP pertama kepada Trackhouse Racing.

Tahun ini, Luca Marini, Diogo Moreira dan Toprak Razgatlioglu berharap dapat mengikut jejak langkah mereka dengan memburu kemenangan Grand Prix pertama masing-masing dalam kelas utama.

Ducati masih menanti kemenangan selepas 16 tahun

Walaupun jentera Ducati memenangi dua daripada tiga perlumbaan terakhir di Phillip Island, pasukan kilangnya masih belum berjaya menjuarai Grand Prix Australia sejak 2010. Dua kemenangan terbaharu Ducati diraih menerusi Zarco bersama Pramac pada 2023 dan Marquez yang mewakili Gresini pada 2024.

Kemenangan terakhir pasukan kilang Ducati di Phillip Island masih menjadi milik Casey Stoner, yang menjuarai perlumbaan di laman sendiri empat tahun berturut-turut dari 2007 hingga 2010.

Stoner kemudian meneruskan penguasaannya bersama Honda dengan dua lagi kemenangan pada 2011 dan 2012, menjadikan keseluruhannya enam kemenangan berturut-turut di Grand Prix Australia sebelum bersara pada penghujung musim 2012.

Ini bermakna pasukan kilang Ducati sudah 16 tahun tidak menang di Phillip Island, meskipun mencatat pelbagai kejayaan di litar lain. Sebagai perbandingan, kemarau kemenangan kedua terpanjang mereka ketika ini hanyalah lima tahun di Le Mans, selepas Miller memenangi Grand Prix Perancis pada 2021.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Ducati Corse (@ducaticorse)