Kecederaan tamatkan musim sulung Razgatlioglu dalam MotoGP

(Luca Gambuti/MotoGP)

Musim sulung Toprak Razgatlioglu dalam MotoGP berakhir lebih awal apabila pelumba Prima Pramac Yamaha itu terpaksa melupakan baki lima pusingan musim ini akibat kecederaan bahu.

Razgatlioglu mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh dalam kemalangan highside ketika Grand Prix Indonesia di Mandalika.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

“Selepas menjalani pemeriksaan lanjut susulan kemalangan di Mandalika, kami mendapati kecederaan bahu saya lebih serius daripada yang disangka pada mulanya,” kata Razgatlioglu.

Pelumba Turkiye itu sebenarnya cuba meneruskan perlumbaan di Indonesia, namun terpaksa menarik diri selepas lapan pusingan akibat kecederaan tersebut.

Keputusan menjalani pembedahan sekali gus menamatkan musim pertamanya dalam MotoGP, selepas berhijrah daripada WorldSBK dengan reputasi sebagai juara dunia tiga kali.

Razgatlioglu akan terlepas perlumbaan di Australia, Malaysia, Qatar, Portugal dan Valencia.

Ketiadaannya di Phillip Island amat mengecewakan buat pelumba itu kerana litar berkenaan merupakan antara kegemarannya ketika bersaing dalam WorldSBK.

Dia sebelum ini berharap dapat merasai pengalaman menunggang jentera MotoGP di Phillip Island, namun bersetuju dengan nasihat doktor bahawa pembedahan merupakan pilihan terbaik untuk memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya.

Pengarah pasukan Pramac, Gino Borsoi, mengakui kecederaan itu akan menjejaskan proses Razgatlioglu menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha YZR-M1.

Bagaimanapun, Borsoi menegaskan kesihatan pelumba tersebut tetap menjadi keutamaan pasukan.

Pelumba ujian Yamaha, Augusto Fernandez, akan menggantikan Razgatlioglu dalam Grand Prix Australia di Phillip Island hujung minggu ini.

Saksikan MotoGP secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)