5 perkara menarik menjelang Grand Prix Jepun 2026

MotoGP menuju ke Mobility Resort Motegi hujung minggu ini untuk Grand Prix Jepun ketika musim 2026 memasuki fasa penting dalam perebutan kejuaraan.

Perlumbaan di Jepun membuka siri lima Grand Prix dalam tempoh enam minggu, dengan perebutan gelaran MotoGP masih terbuka manakala juara dunia pertama musim ini berpeluang dinobatkan dalam kelas lebih rendah.

Saksikan Grand Prix Jepun 2026 secara langsung menerusi SPOTV NOW.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Marquez kembali ke lokasi bergelar juara dunia

Marc Marquez meninggalkan Motegi tahun lalu sebagai juara dunia MotoGP tujuh kali, namun kembali kali ini dengan misi yang cukup berbeza.

Pelumba Sepanyol itu mengesahkan kejuaraan 2025 selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang rakan sepasukan Ducati, Francesco Bagnaia, sekali gus melengkapkan kebangkitannya untuk kembali ke puncak MotoGP.

Kali ini, Marquez tiba sebagai pencabar apabila ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dengan tujuh pusingan masih berbaki.

Marquez, Bagnaia buru satu lagi 1-2 di Motegi

Marquez dan Bagnaia mencipta pencapaian istimewa buat Ducati di Motegi musim lalu apabila menguasai dua kedudukan teratas dalam Sprint dan perlumbaan utama.

Bagnaia memenangi kedua-dua perlumbaan di depan Marquez, menjadikan Ducati pasukan pertama mencatat keputusan 1-2 dalam Sprint dan Grand Prix pada hujung minggu sama sejak format Sprint diperkenalkan pada 2023.

Sejak itu, hanya Trackhouse berjaya mengulangi pencapaian berkenaan apabila Raul Fernandez dan Ai Ogura menguasai dua tempat teratas dalam kedua-dua perlumbaan di Assen awal musim ini.

Nakagami, Chantra kembali beraksi di Motegi

Peminat tuan rumah sekali lagi berpeluang menyaksikan Takaaki Nakagami beraksi dalam MotoGP selepas Honda memberinya wildcard untuk Grand Prix Jepun.

Pelumba Jepun itu meninggalkan perlumbaan sepenuh masa pada penghujung 2024 tetapi kekal bersama Honda sebagai pelumba pembangunan. Dia juga sudah membuat satu penampilan musim ini apabila menggantikan Joan Mir di Austria.

Mir sekali lagi tidak dapat beraksi di Jepun dan tempatnya dalam pasukan kilang Honda akan diambil Somkiat Chantra.

Motegi mempunyai kenangan manis buat pelumba Thailand itu selepas dia memenangi perlumbaan Moto2 di litar berkenaan pada 2023, antara kejayaan terbesar dalam kariernya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by MotoGP™ (@motogp)

Penyanyi lagu Spirited Away bawakan lagu kebangsaan Jepun

Penyanyi Jepun, Ayaka Hirahara akan menyampaikan lagu kebangsaan sebelum perlumbaan MotoGP pada Ahad.

Penyanyi berusia 42 tahun itu sudah lebih dua dekad berada dalam industri muzik, namun namanya turut mempunyai kaitan dengan salah sebuah filem anime Jepun paling terkenal.

Hirahara pernah menyampaikan versi vokal “The Name of Life”, karya muzik yang cukup sinonim dengan filem Studio Ghibli, Spirited Away, pemenang Academy Award.

Quiles berpeluang kunci gelaran Moto3

Maximo Quiles berpeluang menjadi juara dunia pertama dinobatkan pada musim 2026 apabila turun beraksi di Motegi.

Pelumba Sepanyol itu memiliki kelebihan besar 131 mata dalam kedudukan Moto3 selepas meraih kemenangan kesembilan musim ini di Austria.

Selepas Grand Prix Jepun, hanya 150 mata masih boleh direbut. Quiles perlu meraih sekurang-kurangnya 19 mata lebih banyak daripada Alvaro Carpe di Motegi untuk mengesahkan gelaran dunia dengan enam pusingan masih berbaki.