Coco Gauff menegaskan beliau tidak menyesal dengan keputusan melakukan pukulan drop shot yang akhirnya menyaksikannya terlepas peluang beraksi di final perseorangan wanita Wimbledon.
Pemain Amerika Syarikat itu hanya memerlukan satu lagi mata untuk mengesahkan kemenangan ke atas Karolina Muchova sebelum pukulan yang dilakukannya pada kedudukan 9-8 dalam tie-break set penentuan gagal menghasilkan mata.
Muchova kemudian memanfaatkan peluang tersebut untuk melengkapkan kebangkitan dramatik dan menang 2-6, 6-1, 7-6(10).
Mengulas kekalahan itu, Gauff mengakui detik-detik terakhir perlawanan itu akan terus bermain di fikirannya, namun tetap melihat kempen Wimbledon kali ini dari sudut yang positif.
“Banyak perkara positif yang boleh saya ambil. Sudah tentu saya begitu hampir untuk menang.
“Saya pasti akan mengingati beberapa mata terakhir itu untuk tempoh yang lama. Tetapi secara keseluruhannya, ini tetap satu kejohanan yang positif buat saya.
“Perlawanan ini pasti akan saya ingat. Memang sukar untuk diterima, tetapi saya tetap gembira.”
Gauff turut mempertahankan keputusannya melakukan drop shot, sambil menjelaskan pukulan itu merupakan antara senjata paling berkesannya sepanjang perlawanan.
“Orang yang tidak mengikuti tenis mungkin akan tertanya-tanya mengapa saya memilih pukulan drop shot.
“Pada akhirnya, itulah keputusan yang saya buat. Adakah ia keputusan yang tepat pada saat itu? Mungkin tidak. Tetapi jika pukulan itu menjadi, semua orang pasti akan mengatakan ia satu pukulan yang luar biasa.
“Itulah tenis. Kadang-kadang anda menang atau kalah hanya kerana perbezaan yang sangat kecil.”
View this post on Instagram
Pemain berusia 22 tahun itu percaya pengalaman pahit tersebut akan membantunya menjadi pemain yang lebih baik.
“Situasi seperti inilah yang mengajar saya dan memberi gambaran lebih jelas tentang apa yang perlu saya lakukan pada masa depan.
“Saya sudah memberikan segala-galanya di gelanggang. Saya tidak mempunyai sebarang penyesalan.
“Mungkin ada beberapa mata yang boleh saya kendalikan dengan lebih baik, tetapi daripada situlah kita belajar dan menjadi pemain yang lebih baik.”



