Marc Marquez kembali ke Mandalika hujung minggu ini dengan hanya dua mata memisahkannya daripada pendahulu kejuaraan MotoGP 2026, Jorge Martin.
Juara bertahan itu tiba di Indonesia selepas menguasai kedua-dua Sprint dan perlumbaan utama di Motegi untuk meningkatkan kutipannya kepada 331 mata, berbanding 333 milik Martin ketika musim berbaki enam pusingan.
Namun, rekod Marquez di Mandalika jauh daripada meyakinkan.
View this post on Instagram
Empat kali dia beraksi di litar itu sejak Grand Prix Indonesia kembali dalam kalendar MotoGP pada 2022, tetapi belum pernah berjaya menamatkan perlumbaan utama.
Berikut apa yang berlaku kepada Marquez dalam setiap kunjungannya ke Mandalika.
2022: Belum berlumba, sudah tersingkir
Penampilan pertama Marquez di Mandalika berakhir sebelum perlumbaan sempat bermula selepas dia mengalami kemalangan highside yang kuat di Selekoh 7 ketika sesi warm-up. Pelumba Repsol Honda itu mengalami gegaran otak dan disahkan tidak cergas untuk menyertai perlumbaan.
Marquez kemudiannya kembali mengalami masalah penglihatan berganda yang turut menyebabkannya terlepas pusingan seterusnya di Argentina.
View this post on Instagram
2023: Dua perlumbaan, dua kali terjatuh
Kepulangan Marquez ke Mandalika berakhir tanpa sebarang mata walaupun pengenalan Sprint memberinya dua peluang untuk mengubah nasib.
Dia terjatuh seawal pusingan pertama Sprint pada Sabtu sebelum sekali lagi mengalami kemalangan ketika perlumbaan utama pada hari berikutnya. Marquez akhirnya pulang dari Indonesia tanpa sebarang mata dalam musim terakhirnya bersama Repsol Honda.
2024: Harapan berakhir dengan jentera terbakar
Nasib Marquez mula berubah selepas menyertai Gresini Ducati apabila dia bangkit daripada dua kemalangan dalam kelayakan untuk meraih tempat ketiga dalam Sprint.
Ia menjadi mata pertama Marquez di Mandalika, tetapi sekali lagi dia gagal menamatkan perlumbaan utama. Masalah enjin pada pusingan ke-12 memaksanya berhenti di tepi litar apabila jenteranya terbakar.
2025: Kemalangan awal tamatkan musim
Marquez tiba di Mandalika sebagai juara dunia MotoGP tujuh kali selepas mengesahkan gelaran terbaharunya di Jepun, tetapi perlumbaannya hanya bertahan enam selekoh.
Marco Bezzecchi melanggarnya dari belakang di Selekoh 7 pada pusingan pertama sehingga menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh. Marquez mengalami keretakan serta kecederaan ligamen pada bahu kanan yang memerlukan pembedahan.
Kecederaan itu memaksanya terlepas empat pusingan terakhir, sekali gus menamatkan musim Marquez lebih awal.



