Semakan video, teknologi garisan dan perubahan besar lain Wimbledon abad ini

(AELTC/Andrew Baker)

Wimbledon sering dianggap kejohanan tenis yang paling kuat berpegang kepada tradisi. Gelanggang rumput, pakaian serba putih dan pelbagai amalan yang telah wujud sejak sekian lama masih menjadi sebahagian daripada identiti kejohanan itu.

Namun sepanjang abad ke-21, Wimbledon turut melalui beberapa perubahan besar melibatkan pengadilan, format perlawanan dan kebajikan pemain. Pengenalan sistem semakan video pada edisi 2026 menjadi perubahan terbaharu dalam sejarah kejohanan tersebut.

Berikut enam perubahan penting yang diperkenalkan Wimbledon dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Semakan video buat penampilan sulung (2026)

Buat pertama kali dalam sejarah kejohanan, pemain dibenarkan menggunakan sistem semakan video untuk mencabar beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil. Sistem itu digunakan dalam situasi seperti lantunan berganda, sentuhan jaring, gangguan permainan dan pukulan yang dipertikaikan. Kemudahan tersebut disediakan di enam gelanggang utama termasuk Centre Court dan No. 1 Court, tanpa had jumlah semakan yang boleh dibuat pemain.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by BBC SPORT (@bbcsport)

Hakim garisan kini tinggal sejarah (2025)

Salah satu imej paling sinonim dengan Wimbledon berakhir pada 2025 apabila sistem panggilan garisan elektronik diperkenalkan di semua gelanggang. Perubahan itu menyaksikan hakim garisan tidak lagi digunakan, manakala sistem cabaran pemain turut dimansuhkan. Keputusan sama ada bola masuk atau keluar kini ditentukan sepenuhnya oleh teknologi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by BBC World Service (@bbcworldservice)

Peraturan pakaian wanita dilonggarkan (2023)

Peraturan pakaian serba putih merupakan antara tradisi paling terkenal di Wimbledon. Namun pada 2023, All England Club melonggarkan syarat tersebut bagi pemain wanita. Perubahan itu membolehkan pemain memakai seluar dalam berwarna gelap di bawah pakaian pertandingan susulan kebimbangan berkaitan tahap keselesaan pemain wanita sepanjang kejohanan.

Beregu lelaki kini hanya tiga set (2023)

Perlawanan beregu lelaki di Wimbledon dimainkan dalam format lima set selama lebih satu abad sebelum perubahan diperkenalkan pada 2023. Mulai edisi tersebut, perlawanan dipendekkan kepada tiga set bagi menyelaraskan format Wimbledon dengan kebanyakan kejohanan beregu profesional lain serta membantu melancarkan jadual pertandingan. Langkah itu turut mengurangkan beban fizikal pemain beregu, terutama mereka yang bertanding dalam lebih daripada satu acara.

Era set penentuan tanpa had berakhir (2019 dan 2022)

Selama bertahun-tahun, Wimbledon mengekalkan peraturan yang memerlukan pemain memenangi set penentuan dengan kelebihan dua permainan, sekali gus membolehkan sesuatu perlawanan berlanjutan tanpa had. Contoh paling terkenal berlaku pada 2010 apabila John Isner menewaskan Nicolas Mahut 70-68 dalam set kelima dalam perlawanan paling panjang dalam sejarah tenis profesional.

Wimbledon kemudian memperkenalkan tie-break pada kedudukan 12-12 pada 2019 sebelum mengikut format Grand Slam lain pada 2022 dengan menggunakan tie-break 10 mata pada kedudukan 6-6 dalam set penentuan. Perubahan tersebut secara efektif menamatkan kemungkinan berlakunya perlawanan maraton seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Peraturan cuaca panas diseragamkan (2019)

Wimbledon turut menyeragamkan peraturan khas bagi cuaca panas sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kebajikan pemain. Di bawah peraturan semasa, pemain dibenarkan mengambil rehat selama 10 minit (atau 15 minit bagi acara kerusi roda) apabila indeks tekanan haba mencecah atau melebihi 30.1 darjah Celsius. Rehat tersebut diberikan antara set kedua dan ketiga bagi perlawanan tiga set, atau antara set ketiga dan keempat bagi perlawanan lima set.