Walabi ganggu sesi latihan MotoGP Australia

Sesi latihan Grand Prix Australia MotoGP di Phillip Island terpaksa dihentikan seketika pada Jumaat selepas seekor walabi muncul berhampiran litar.

Kehadiran haiwan yang menyerupai kanggaru kecil itu menyebabkan bendera merah dikibarkan ketika sesi latihan petang masih berbaki lebih 42 minit.

Para pelumba diarahkan kembali ke pit sebelum sesi disambung semula sebaik sahaja walabi berkenaan meninggalkan kawasan litar.

Ia merupakan kali kedua sesi latihan tersebut dihentikan selepas insiden membabitkan Marco Bezzecchi dan Alex Marquez sebelum itu.

Bezzecchi terkena bahagian belakang Ducati milik Alex ketika menghampiri Selekoh 4, menyebabkan serpihan daripada jentera Aprilianya bertaburan di atas litar.

Bagaimanapun, Bezzecchi berjaya meneruskan sesi dan mencatat masa terpantas, mengatasi Raul Fernandez dan Marc Marquez.

Gangguan haiwan liar bukan perkara baharu di Phillip Island, malah kejadian hampir sama berlaku ketika pusingan pembukaan WorldSBK pada Februari lalu.

Ketika sesi latihan bebas kedua (FP2), seekor walabi melintas litar sehingga memaksa Nicolo Bulega membatalkan percubaannya sebelum sesi dapat diteruskan.

Pada 2022 pula, Aleix Espargaro nyaris melanggar seekor walabi ketika latihan MotoGP, manakala kehadiran sekumpulan angsa menyebabkan sesi kelayakan Moto2 ditamatkan lebih awal pada hujung minggu yang sama.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SPOTV SEA (@spotvsea)

Kejadian terbaru ini mungkin menjadi antara kenangan terakhir yang mencuit perhatian di Phillip Island sebelum Grand Prix Australia berpindah ke Adelaide mulai 2027.

Phillip Island mula menjadi tuan rumah perlumbaan kejuaraan dunia pada 1989 dan kekal sebagai lokasi tetap Grand Prix Australia sejak 1997, kecuali ketika perlumbaan dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Hujung minggu terakhir MotoGP di Phillip Island diteruskan dengan sesi kelayakan dan perlumbaan Sprint pada Sabtu, sebelum perlumbaan utama pada Ahad.

Saksikan MotoGP secara langsung menerusi SPOTV NOW.