Reijnders bakal berhijrah ke Liga Pro Saudi

(Manchester City)

Tijjani Reijnders bakal mengikut jejak tiga bekas pemain Manchester City yang berhijrah terus ke Arab Saudi sejak 2023 selepas dilaporkan bersetuju menyertai Al Qadsiah.

Manchester City dan Al Qadsiah dilaporkan sudah mencapai persetujuan bagi perpindahan bernilai kira-kira £51 juta.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Fabrizio Romano (@fabriziorom)

Reijnders baru menyertai City dari AC Milan tahun lalu, namun semakin kurang mendapat minit permainan pada separuh kedua musim lalu.

Sekiranya perpindahan itu selesai, pemain berdarah Belanda-Indonesia berusia 28 tahun tersebut akan menjadi pemain keempat meninggalkan City untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi selepas Riyad Mahrez, Aymeric Laporte dan Joao Cancelo.

Mahrez membuka laluan apabila menyertai Al Ahli pada 2023 selepas lima musim penuh kejayaan di Manchester.

Bekas pemain sayap Algeria itu meninggalkan kelab Jeddah berkenaan pada Julai selepas tiga musim, dengan dua gelaran Liga Juara-Juara Elit AFC berturut-turut pada 2025 dan 2026 antara kejayaan yang diraihnya bersama Al Ahli.

Laporte pula meninggalkan City pada tahun sama untuk menyertai Al Nassr. Beliau menghabiskan dua musim di Arab Saudi sebelum kembali ke bekas kelabnya, Athletic Club, pada September 2025.

Joao Cancelo menjadi pemain ketiga apabila menyertai Al Hilal pada 2024, namun pertahanan Portugal itu kini dijangka kembali ke Barcelona secara tetap.

Jika perpindahannya selesai dalam masa terdekat, Reijnders berpeluang membuat penampilan sulung menentang Al Ittihad pada Jumaat, yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.

Al Qadsiah memulakan kempen Liga Pro Saudi musim baharu dengan langkah kanan selepas menewaskan Al Shabab 3-1.