Pemain tenis terbaik dunia bakal kembali ke New York hujung bulan ini bagi merebut gelaran Terbuka AS 2026, kejohanan Grand Slam keempat dan terakhir musim ini.
Terkenal dengan kemeriahan penonton, perlawanan sesi malam dan aksi sengit di gelanggang keras, Terbuka AS mempunyai identiti tersendiri berbanding tiga kejohanan Grand Slam lain. Di sebalik aksi di Flushing Meadows, kejohanan ini juga menyimpan pelbagai rekod luar biasa dan kisah menarik sepanjang sejarahnya.
Menjelang Terbuka AS 2026 yang akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW, berikut 10 fakta menarik yang mungkin mengejutkan anda.
Grand Slam yang tidak pernah terhenti
Terbuka AS berlangsung setiap tahun sejak kejohanan lelaki pertama dianjurkan pada 1881, menjadikannya satu-satunya daripada empat Grand Slam yang tidak pernah terlepas satu edisi. Malah, kejohanan itu tetap diteruskan ketika dua Perang Dunia dan pandemik COVID-19.
Pada 1917, selepas Amerika Syarikat menyertai Perang Dunia Pertama, pertandingan tetap diadakan dengan nama National Patriotic Tennis Tournament dan hasil kutipannya disumbangkan kepada Palang Merah Amerika.
Empat kali ke final, tetap tanpa gelaran
Bjorn Borg dan Evonne Goolagong Cawley mencatat pelbagai kejayaan sepanjang karier masing-masing, namun kedua-duanya berkongsi satu rekod yang pasti mahu dilupakan di Terbuka AS: empat kali mara ke final perseorangan tanpa pernah menjadi juara.
Borg muncul naib juara pada 1976, 1978, 1980 dan 1981, dengan masing-masing dua kekalahan kepada Jimmy Connors dan John McEnroe. Ia kekal sebagai satu-satunya Grand Slam yang gagal dimenanginya meskipun mengumpul 11 gelaran utama sepanjang karier.
Goolagong pula memenangi tujuh gelaran Grand Slam perseorangan, tetapi tidak pernah berjaya menakluki New York. Pemain Australia itu tewas dalam empat final berturut-turut dari 1973 hingga 1976, masing-masing kepada Margaret Court, Billie Jean King dan dua kali kepada Chris Evert.
Seorang juara, tiga jenis gelanggang
Sepanjang sejarahnya, Terbuka AS pernah dimainkan di tiga permukaan berbeza: rumput dari 1881 hingga 1974, tanah liat hijau dari 1975 hingga 1977 dan gelanggang keras selepas berpindah ke Flushing Meadows pada 1978. Namun, hanya seorang pemain berjaya muncul juara di ketiga-tiga permukaan itu.
Jimmy Connors memenangi gelaran di gelanggang rumput pada 1974, tanah liat pada 1976 dan gelanggang keras pada 1978. Bintang Amerika Syarikat itu kemudian menambah dua lagi kejuaraan pada 1982 dan 1983.
‘Triple crown’ pertama dalam Era Terbuka
Margaret Court membolot gelaran perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran pada Terbuka AS 1970, sekali gus mencatat ‘triple crown’ pertama yang dimenangi sepenuhnya dalam Era Terbuka.
Court sebenarnya pernah melakukan perkara sama di Terbuka Australia setahun sebelumnya, namun final beregu campuran tidak dapat dimainkan kerana kekangan masa dan gelaran itu dikongsi antara dua pasangan.
Tiada situasi sedemikian berlaku di New York. Court menewaskan Rosemary Casals untuk gelaran perseorangan, bergandingan dengan Judy Tegart-Dalton untuk menjuarai beregu wanita dan bersama Marty Riessen memenangi beregu campuran.
Kejayaan perseorangannya lebih istimewa kerana melengkapkan Grand Slam kalendar selepas turut menjuarai Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon pada tahun sama, sekali gus menjadi wanita pertama melakukannya dalam Era Terbuka.
Dari pusingan kelayakan hingga bergelar juara
Emma Raducanu tiba di Terbuka AS 2021 sebagai pemain ranking ke-150 dunia dan memulakan cabaran dari pusingan kelayakan. Ketika baru berusia 18 tahun, beliau memenangi tiga perlawanan kelayakan sebelum mencatat tujuh lagi kemenangan dalam undian utama untuk menjadi pemain pertama dalam sejarah tenis muncul juara perseorangan Grand Slam selepas bermula dari kelayakan.
Lebih luar biasa, Raducanu tidak kehilangan satu set pun sepanjang 10 perlawanan itu. Beliau memenangi 20 set berturut-turut sebelum menewaskan Leylah Fernandez dalam final.
Grand Slam pertama perkenal tiebreak
Terbuka AS menjadi Grand Slam pertama menggunakan tiebreak pada 1970. Namun, format asalnya jauh lebih mendebarkan berbanding tiebreak hari ini. Dikenali sebagai tiebreak sembilan mata secara “sudden death”, pemain pertama mencapai lima mata akan memenangi set. Jika kedudukan terikat 4-4, mata kesembilan terus menentukan pemenang tanpa perlu memiliki kelebihan dua mata.
Terbuka AS meninggalkan format itu pada 1975 dan beralih kepada tiebreak 12 mata, dengan pemain perlu mencapai tujuh mata serta memiliki kelebihan sekurang-kurangnya dua mata. Variasi sistem tersebut kemudiannya menjadi kebiasaan dalam tenis.
Tiada juara lelaki pertahan gelaran sejak 2008
Roger Federer menewaskan Andy Murray dalam final 2008 untuk merangkul gelaran Terbuka AS kelima berturut-turut. Sejak itu, tiada seorang pun juara perseorangan lelaki berjaya mempertahankan kejuaraan pada tahun berikutnya, menjadikan Federer pemain terakhir memenangi gelaran lelaki secara berturut-turut.
Rentetan itu kekal meskipun beberapa pemain muncul juara lebih daripada sekali selepas era Federer. Rafael Nadal, Novak Djokovic, Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz semuanya pernah kembali ke New York sebagai juara bertahan, tetapi gagal mempertahankan gelaran.
Tujuh tahun final lelaki pada hari Isnin
Cuaca buruk memaksa final perseorangan lelaki Terbuka AS ditunda ke hari Isnin selama lima tahun berturut-turut dari 2008 hingga 2012. Pada 2013 dan 2014, penganjur pula melanjutkan kejohanan kepada 15 hari dan sengaja menjadualkan final pada Isnin bagi memberikan hari rehat kepada pemain selepas separuh akhir.
Hasilnya, selama tujuh edisi berturut-turut dari 2008 hingga 2014, juara perseorangan lelaki Terbuka AS sentiasa ditabalkan pada hari Isnin. Tradisi final Ahad akhirnya kembali pada 2015.
Terselamat daripada Titanic, kemudian jadi juara
Richard Norris Williams memenangi US Championships pada 1914 dan 1916, tetapi dua tahun sebelum meraih gelaran perseorangan pertamanya, karier tenisnya hampir berakhir sebelum sempat berkembang.
Williams merupakan antara individu yang terselamat dalam tragedi Titanic pada 1912. Kakinya mengalami radang dingin yang serius selepas kapal itu karam di Atlantik Utara dan doktor dilaporkan mencadangkan supaya kakinya dipotong. Williams menolak cadangan itu dan sebaliknya kerap berjalan di atas kapal penyelamat Carpathia bagi membantu melancarkan semula peredaran darah.
Hanya beberapa bulan kemudian, beliau memenangi gelaran beregu campuran AS 1912 sebelum muncul antara pemain terbaik pada zamannya. Williams kemudian turut memenangi dua gelaran beregu AS, satu kejuaraan beregu Wimbledon serta emas beregu campuran Olimpik.
Juara yang tidak menerima hadiah utama
Arthur Ashe menewaskan Tom Okker untuk menjuarai edisi pertama Terbuka AS dalam Era Terbuka pada 1968, tetapi beliau tidak menerima hadiah wang tunai AS$14,000 yang disediakan kepada juara.
Ashe ketika itu masih berstatus pemain amatur dan sedang berkhidmat sebagai leftenan dalam Tentera Darat Amerika Syarikat, menyebabkan beliau tidak layak menerima wang kemenangan. Hadiah utama itu sebaliknya diberikan kepada Okker selaku naib juara, manakala Ashe hanya menerima elaun AS$20 sehari berjumlah AS$280 sepanjang kejohanan.
Lebih menarik, Ashe turut memenangi edisi terakhir US Amateur Championships pada tahun sama, menjadikannya satu-satunya pemain yang pernah merangkul gelaran perseorangan amatur AS dan Terbuka AS dalam tahun yang sama.



