Aprilia meninggalkan Silverstone dengan keputusan cemerlang, tetapi sedar situasi mungkin berbeza apabila MotoGP kembali bersambung di MotorLand Aragon hujung Ogos ini.
Jentera Aprilia menguasai kedua-dua perlumbaan Grand Prix Britain dengan Jorge Martin memenangi sprint pada Sabtu, sebelum Raul Fernandez muncul juara pada Ahad.
Keputusan itu menyaksikan tiga pelumba jentera Aprilia mengatasi Marc Marquez dalam kedudukan kejuaraan, dengan Martin, Marco Bezzecchi dan Ai Ogura kini menghuni tiga tangga teratas, manakala Marquez di tempat keempat.
Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola, percaya keputusan di Silverstone tidak boleh dijadikan ukuran menjelang tiga perlumbaan seterusnya, terutama apabila Aragon merupakan antara litar paling berjaya buat Marquez.
“Saya rasa Aragon memang litar Marc, manakala Misano World Circuit dan Red Bull Ring pula lebih sesuai dengan Ducati,” kata Rivola seperti dipetik Moto.it.
“Namun, sejak pertengahan tahun lalu, Aprilia sudah menunjukkan kami semakin kompetitif di lebih banyak litar berbanding sebelum ini.
“Dengan dua pelumba yang kami ada dan pasukan yang berada dalam prestasi baik, saya tidak mahu mengatakan kami tidak takut kepada sesiapa, tetapi kami pasti akan bersaing hingga ke penghujung.”
View this post on Instagram
Rekod Marquez di MotorLand Aragon menjelaskan mengapa Rivola memilih untuk berhati-hati.
Pelumba Sepanyol itu sudah meraih tujuh kemenangan MotoGP di litar berkenaan, sedangkan tiada pelumba lain pernah menang lebih daripada dua kali sejak Aragon mula menjadi sebahagian kalendar kejuaraan pada 2010.
Selepas kehilangan mata berharga di Silverstone, Aragon menjadi medan terbaik buat Marquez untuk kembali memberi tekanan kepada barisan Aprilia dalam perebutan gelaran dunia.
Grand Prix Aragon 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.



