Trofi dunia EA Sports FC kini dinamakan sempena Diogo Jota

Nama mendiang Diogo Jota akan terus dikenang dalam dunia e-sukan apabila EA Sports FC menamakan trofi Kejohanan Dunia FC Pro sempena bekas penyerang Liverpool itu.

Dengan persetujuan keluarganya, pengumuman tersebut dibuat pada Jumaat bersempena ulang tahun pertama pemergian Jota.

Trofi berkenaan kini dikenali secara rasmi sebagai Diogo Jota FC Pro World Championship Trophy.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by EA SPORTS FC (@easportsfc)

Selain dikenali sebagai pemain bola sepak, Jota juga merupakan antara pemain permainan video bola sepak paling terkenal dalam kalangan pemain profesional dan kerap menyertai pertandingan EA Sports FC.

Beliau muncul juara ePremier League Invitational pada 2020 ketika mewakili Wolverhampton Wanderers sebelum menubuhkan organisasi e-sukannya sendiri, LUNA Esports.

Trofi dengan nama baharu itu akan dipersembahkan buat kali pertama pada FC Pro World Championship yang berlangsung sempena Esports World Cup hujung bulan ini.

EA Sports FC turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan keluarga Jota bagi melaksanakan pelbagai inisiatif lain untuk menghargai legasi yang ditinggalkan mendiang.