Zeng Jian terajui cabaran tuan rumah di Singapore Smash 2026
Oleh Lee Seng Foo6 bulan lalu
(World Table Tennis)
Zeng Jian merupakan antara empat pemain ping pong Singapura yang akan menggalas cabaran tuan rumah di Singapore Smash 2026.
Kejohanan yang berlangsung di Resorts World Sentosa dari 19 Februari hingga 1 Mac itu merupakan acara Grand Smash WTT pertama musim ini, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai AS$1.55 juta.
Barisan pemain ternama dunia dijangka memeriahkan kejohanan, termasuk juara perseorangan bertahan Lin Shidong dan Sun Yingsha, serta pemenang WTT Champions Doha 2026, Lin Yun-ju dan Zhu Yuling.
Turut tersenarai ialah pemain nombor satu dunia Wang Chuqin serta juara WTT Finals Hong Kong 2025 iaitu Tomokazu Harimoto, Wang Manyu dan pasangan beregu campuran Lim Jonghoon/Shin Yubin.
Zeng, yang kini menghuni ranking ke-37 dunia, akan disertai rakan senegara Ser Lin Qian dalam acara perseorangan wanita, dengan Ser memulakan kempen menerusi pusingan kelayakan.
Dalam acara lelaki, Koen Pang dan Izaac Quek akan bergandingan dalam beregu lelaki selain turut mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan perseorangan.
Saksikan semua aksi Singapore Smash 2026 secara langsung di SPOTV NOW.
Asia Tenggara bakal mempertaruhkan enam pasukan dalam saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Games of the Future 2026, dengan juara bertahan, ONIC dari Indonesia serta wakil Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) mengetuai cabaran rantau ini di Astana, Kazakhstan.
Games of the Future edisi 2026 akan berlangsung dari 29 Julai hingga 9 Ogos, mengintegrasikan acara 'phygital' yang menggabungkan pertandingan fizikal dan digital, selain beberapa kejohanan esukan berdiri sendiri.
Selain acara 'phygital' yang menjadi identiti kejohanan itu, pertandingan bagi judul esukan popular seperti MLBB, Dota 2 dan PUBG: Battlegrounds turut menjadi antara tarikan utama.
Saingan MLBB yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 9 Ogos akan membabitkan 16 pasukan jemputan yang bersaing merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$900,000.
Empat lagi pasukan Asia Tenggara yang melengkapkan cabaran rantau ini ialah Bigetron by Vitality dari Indonesia, Team Vamos dari Malaysia, PRO Esports dari Kemboja dan Team Falcons dari Filipina.
ONIC hadir selaku juara bertahan selepas menewaskan Aurora Gaming pada final edisi tahun lalu di Abu Dhabi, manakala SRG pula tampil sebagai antara pasukan terbaik Malaysia susulan beberapa pencapaian memberangsangkan di pentas antarabangsa sejak kebelakangan ini.
Bagi saingan PUBG: Battlegrounds, Asia Tenggara akan diwakili enam pasukan, manakala pertandingan Dota 2 menyaksikan dua wakil dari rantau itu turut mengambil bahagian.
Perlawanan serta acara terpilih sepanjang Games of the Future 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Gabungan aksi sukan tradisional dan permainan video kembali menjadi tarikan utama apabila Games of the Future membuka tirainya minggu ini, dengan konsep 'phygital' sekali lagi menjadi tunjang kejohanan pelbagai sukan itu.
Selepas diperkenalkan di Kazan pada 2024 dan diteruskan di Abu Dhabi tahun lalu, edisi 2026 akan berlangsung di Astana, Kazakhstan, dari 29 Julai hingga 9 Ogos, menghimpunkan lebih 800 atlet dari lebih 50 negara yang akan bersaing merebut hadiah wang tunai keseluruhan melebihi AS$4 juta.
Berbeza daripada kejohanan pelbagai sukan lain, Games of the Future menggunakan format 'phygital', yang menggabungkan prestasi atlet dalam pertandingan digital dan sukan fizikal.
Setiap pertembungan bermula menerusi permainan video sebelum diteruskan dalam versi sebenar sukan berkenaan, dengan keputusan daripada kedua-dua peringkat digabungkan untuk menentukan pemenang.
Sukan 'phygital' yang dipertandingkan tahun ini ialah bola sepak, bola keranjang, menembak, pertarungan dan tarian.
Bagi acara esukan pula, judul popular seperti Dota 2, PUBG: Battlegrounds dan Mobile Legends: Bang Bang turut dipertandingkan.
Acara terpilih akan disiarkan secara langsung menerusi SPOTV NOW.
Kembalinya Litar Antarabangsa Sepang ke dalam kalendar Formula One (F1) menyaksikan musim 2026 mencipta rekod baharu apabila enam litar akan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 dan MotoGP dalam tahun yang sama.
Rekod itu tercipta selepas F1 mengumumkan pada Ahad bahawa Sepang akan menganjurkan Grand Prix Bahrain pada 4 Oktober susulan konflik di Asia Barat, sekali gus mengembalikan bekas tuan rumah Grand Prix Malaysia itu ke kalendar kejuaraan buat kali pertama sejak 2017.
F1 dan MotoGP kini akan berkongsi enam litar pada musim ini, iaitu Sepang, Circuit de Barcelona-Catalunya di Sepanyol, Silverstone di Britain, Red Bull Ring di Austria, Circuit of the Americas (COTA) di Austin serta Litar Antarabangsa Lusail di Qatar.
Ia merupakan jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak kedua-dua kejuaraan dunia itu berlangsung serentak.
Sebelum ini, rekod tertinggi ialah lima litar yang dikongsi F1 dan MotoGP, kali terakhir dicapai pada 2017 ketika Sepang masih berada dalam kalendar F1 bersama Barcelona, Silverstone, Red Bull Ring dan COTA.
Bagaimanapun, rekod baharu itu masih belum terjamin kerana jumlah berkenaan boleh kembali berkurangan kepada lima sekiranya Grand Prix Qatar bagi salah satu atau kedua-dua kejuaraan tidak dapat diteruskan susulan konflik di Asia Barat.
Ketika ini, Lusail dijadual menjadi tuan rumah MotoGP pada 8 November sebelum menganjurkan perlumbaan F1 tiga minggu kemudian.
Sepang pernah menjadi tuan rumah F1 dari 1999 hingga 2017, manakala MotoGP terus menjadikan litar itu sebagai venue tetap sejak 1999 tanpa sebarang gangguan.
Ini menjadikan Sepang antara segelintir litar di dunia yang mempunyai sejarah panjang dalam kedua-dua kejuaraan berkenaan.
Kalendar tahunan Sepang turut merangkumi Asian Le Mans Series, GT World Challenge Asia, TCR Asia Tour, Asia Road Racing Championship (ARRC) dan Moto4 Asia Cup, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara litar tetap paling aktif dan versatil di dunia.
Grand Prix Bahrain di Malaysia mungkin kedengaran janggal, namun situasi itu bukan sesuatu yang asing dalam sejarah Formula 1.
Susulan pembatalan perlumbaan di Bahrain akibat konflik di Asia Barat, Litar Antarabangsa Sepang dijadual mengambil alih penganjuran perlumbaan itu pada 4 Oktober, sekali gus menyaksikan Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1 buat kali pertama sejak 2017.
Perlumbaan berkenaan turut melengkapkan jadual padat di Sepang, yang terlebih dahulu akan menganjurkan pusingan kedua terakhir Asia Road Racing Championship (ARRC) pada September sebelum Grand Prix Malaysia MotoGP pada penghujung Oktober.
Walaupun perlumbaan itu menggunakan nama Bahrain, ia sebenarnya bukan kali pertama Grand Prix Formula 1 berlangsung di luar negara yang memberi namanya. Sepanjang sejarah kejuaraan dunia itu, beberapa perlumbaan pernah melalui situasi sama atas pelbagai faktor, daripada isu keselamatan hingga kekangan logistik.
Grand Prix Switzerland di Perancis
Switzerland pernah menjadi destinasi tetap Kejuaraan Dunia F1 di Litar Bremgarten sebelum negara itu mengharamkan perlumbaan litar susulan tragedi Le Mans 1955 yang mengorbankan lebih 80 penonton serta pelumba Mercedes, Pierre Levegh.
Hampir dua dekad kemudian, perlumbaan itu dihidupkan semula, namun bukan di Switzerland. Sebaliknya, Kelab Automobil Switzerland memilih Litar Dijon-Prenois di Perancis, yang terletak berhampiran sempadan kedua-dua negara, dengan sokongan penaja Switzerland. Perlumbaan 1975 itu tidak dikira sebagai sebahagian daripada Kejuaraan Dunia F1 dan dimenangi pelumba Switzerland, Clay Regazzoni.
Grand Prix Switzerland kembali ke dalam kalendar Kejuaraan Dunia pada 1982 selepas Grand Prix Argentina dibatalkan. Keke Rosberg meraih kemenangan sulungnya dalam F1 di Dijon-Prenois sebelum muncul juara dunia pada musim yang sama. Sehingga hari ini, perlumbaan itu kekal sebagai Grand Prix Switzerland yang terakhir.
Grand Prix San Marino di Itali
Republik kecil San Marino tidak pernah mempunyai litar yang mampu memenuhi syarat untuk menganjurkan perlumbaan Formula 1. Justeru, sejak diperkenalkan pada 1981, perlumbaan itu sentiasa berlangsung di Litar Imola di Itali.
Kehadirannya membolehkan Itali mempunyai dua perlumbaan Kejuaraan Dunia F1 dalam satu musim, selain Grand Prix Itali di Monza. Imola kemudian berkembang menjadi antara litar paling ikonik dalam sejarah Formula 1 dengan Michael Schumacher, Ayrton Senna dan Alain Prost muncul antara pelumba paling berjaya di situ.
Namun, litar itu juga dikenang sebagai lokasi tragedi pada 1994 yang meragut nyawa Roland Ratzenberger dan Senna, sekali gus mencetuskan pembaharuan besar terhadap aspek keselamatan Formula 1.
Selepas musim 2006, Formula 1 meninggalkan Imola sebelum kembali dari 2020 hingga 2025 dengan nama baharu, Grand Prix Emilia-Romagna.
Grand Prix Luxembourg di Jerman
Walaupun Luxembourg pernah menganjurkan perlumbaan menggunakan namanya sendiri di Lapangan Terbang Findel antara 1949 hingga 1952, perlumbaan itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada Kejuaraan Dunia Formula 1.
Nama Grand Prix Luxembourg hanya kembali menghiasi kalendar dunia selepas 45 tahun, namun perlumbaannya diadakan di Nürburgring, Jerman. Keputusan itu dibuat kerana Hockenheim ketika itu sudah menjadi tuan rumah Grand Prix Jerman, manakala Jerez memegang hak penggunaan nama Grand Prix Eropah, menyebabkan Nürburgring memerlukan nama lain untuk kekal dalam kalendar. Jacques Villeneuve dan Mika Häkkinen masing-masing memenangi dua edisi perlumbaan pada 1997 dan 1998 sebelum kedua-duanya muncul juara dunia pada musim berkenaan.
Grand Prix Luxembourg bagaimanapun hanya bertahan selama dua musim. Selepas Jerez tersingkir daripada kalendar, gelaran Grand Prix Eropah kembali tersedia dan digunakan semula di Nürburgring sehingga 2007, sekali gus menamatkan penggunaan nama Grand Prix Luxembourg.